Khamis, 19 Februari 2009

Sejarah Sekolah


Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor diambil sempena nama KDYMM Tengku Ampuan Pahang, Tengku Ampuan Afzan. Ia telah dibuka secara rasmi pada 04 Julai 1976 oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Hj. Ahmad Shah Ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar.
Sebelum ini sekolah ini di kenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Chenor (SMRKC) yang ditubuhkan pada Januari 1965 bertempat di tapak Sekolah Menengah Teknik Pertanian Chenor sekarang ini. SMRKC bermula dengan hanya 2 kelas yang memuatkan seramai 81 orang pelajar perintis, pelajar tingkatan satu yang dipimpin oleh pengetua pertama iaitu Allahyarham En. Rofli Bin Ahmad
Namun begitu, pada tahun 1970, Sekolah Menengah Vokasional Pertanian Chenor (sekarang ditukar sebagai Sekolah Menengah Teknik Pertanian Chenor) telah dibuka dan ditempatkan di kawasan yang sama dengan SMRKC. Keadaan ini menyebabkan pelajar dari kedua-dua buah sekolah terpaksa belajar di bawah satu bumbung serta menginap di dalam satu asrama. Segalanya terpaksa dikongsi dari meja pengetua hinggalah ke dapur asrama.
Pada tahun 1972, pelajar-pelajar SMRKC ditempatkan ke bangunan baru yang menempatkan pelajar SMKTAAC kini. Pada Januari 1973, seramai 540 orang pelajar telah mendaftar dan 65% daripadanya tinggal di asrama. Ini menyebabkan persekolahan dua sesi terpaksan diadakan akibat dari kekurangan bilik darjah. Sekolah ini telah menjadi tumpuan penduduk kampong tradisional di mukim Chenor,seperti Kampung Bukit Bota, kampung Londang, Kampung Lanting, Kampung Dalam, Kampung Sekara, Kampung Kening, Kampung Batu Bor, Kampung Huma Luas, Kampung Pantai, Kampung Machang Gelap, Kampung Telok Melati, Kampung Kandis, Kampung Tanjung Berangan, Kampung Pesagi, Kampung pejing, Kampung Paya pasir, Kampung Batu 13, Kampung Sungai Ling, Kampung Baru, Kampung Kertau dan laini-lain. Malahan peneroka felda yang berhampiran seperti, Felda kampung sawah, Sungai Nerek, Jengka 19 juga berminat untuk menghantar anak mereka bersekolah di sekolah ini.
Keberangkatan KDYMM Sultan Pahang ke SMRKC pada 17 Mei 1975 telah memberi rahmat yang besar. Beberapa blok bangunan dan kemudahan asas telah diluluskan. 04 Julai 1976, KDYMM Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang sekali lagi telah mencemar duli untuk merasmikan SMRKC. Bermula dari saat itu, nama sekolah ini telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan, Chenor dengan kemudahan asas 3 blok bangunan sekolah, 2 blok asrama, 1 blok dewan makan dan 2 blok bengkel.
Kini, sekolah ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran yang semakin bertambah seiring dengan keperluan dan kemajuan pendidikan negara masa kini.

1 ulasan: